Sunday, September 14, 2008

Allahyarham Md.Yusof Bin Sulaiman (1958 -2006)



'The Pen Is Mighter than the sword'.
Itu adalah kata-kata hikmah orang-orang bijak pandai.Ma'afkan akan ketulian saya akan perjuangan Srd.seangkatan kita ini.Sungguh saya tidak mengikuti perkembangan rakan taulan saya ini semenjak meninggal MHS pada 1976.
Yusof yang saya kenal memang seorang yang agak pendiam dan bijak,Pembahas yang natural.malan kami bertemu di peringkat akhir Pertandinggan Bahas antara Form diimana kelasnya Form 4 Sci I diwakili oleh Dr.Razak(Skg.Dato)dan kembarnya Dr.Rani dan beliau sendiri dan kelas saya Form 4 Arts 1 diwakili oleh saya sendiri,Srd.Juwara Dollah dan Srd.A.Rahim Dolmat selaku Ketua Pembahas.
Pemain bola,hanya satu-satu pemain bola yang saya kenal yang sanggup membeli Majallah Bola 'Shoot'keluaran setiap hari Khamis.'The Knowledgeable Footballer'.

Email yang dikirimkan oleh seorang rakan berkenaan dengan Allahyarham benar-benar mengoncang minda saya seharian.

Mungkinkah ianya Suatu Perjuangan Yang Belum Selesai?
Article tersebut diemail oleh Srd.Rosman kepada saya.Ianya untuk kita merenong sejenak akan sumbangan kita kepada semesta.
Adakah ianya selari dengan Habul Mina'nas Habulum Innallah?

=======================
Belasungkawan Untuk Mohd Yusof Sulaiman

Mon | Jul 17, 06 | 03:17:36 PM Oleh Taufek Yahya KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Bagi para pembaca mingguan Harakah di awal dekad 1990-an, nama Mohd Yusof Sulaiman bukanlah asing bagi mereka. Tulisannya mudah difahami dan isu yang dibawa olehnya saban minggu menarik perhatian untuk dibaca. Mereka yang jahil ekonomi pun mampu mengikuti tulisan Yusof yang penuh fakta. Beliau tidak pernah menyukarkan pembaca kolumnya dengan teori-teori ekonomi yang berat-berat. Malah perbincangan sesetengah topik ekonomi yang pada asasnya berat, boleh menjadi ringan jika diulas oleh Yusof. Itulah kelebihan Yusof Sulaiman, anak kelahiran Melaka, graduan ITM dan menimba pengalaman awal bekerja dengan beberapa syarikat konglomerat termasuk bertaraf sogoshosha di Kuala Lumpur. Para petugas Harakah memang mengenali manusia bertubuh gempal, rendah dan rendang, berkaca mata tebal, berkumis dan berjanggut dan masih mempertahankan gaya rambut ‘sikat tepi’ pelajar sekolah dekad 70-an dan 80-an. Dia akan datang ke Harakah pada setiap kali deadline, selalunya tepat jam 6.00 petang secara senyap-senyap, membaca akhbar dan kemudiannya menghadap monitor komputer untuk menyiapkan kolumnya. Tulisannya padat, tatabahasanya lengkap, aliran ideanya lancar persis seorang editor ekonomi sebuah akhbar. Pada hemat penulis, dia adalah segelintir kolumnis yang jarang memeningkan kepala editor. Tulisannya bukan sahaja diikuti pembaca Harakah di kampung-kampung dan bandar, ahli biasa dan pemimpin parti, malah diikuti oleh pakar ekonomi di menara gading. Dalam satu forum ekonomi anjuran persatuan induk mahasiswa di UKM Bangi, Yusof mendapat pengiktirafan Dr Jomo Kwame Sundram, profesor ekonomi Universiti Malaya yang kini menjawat Pen. Setiausaha Agung (Ekonomi) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dr Jomo yang bersama Yusof menjadi panel jemputan forum ekonomi itu memuji tulisan Yusof dalam Harakah yang dianggapnya berupaya mengulas isu-isu ekonomi kontemporari secara berkesan. Sikap Yusof yang pendiam boleh berubah sekelip mata. Kadang-kadang beliau boleh ketawa besar apabila mendengar perkara-perkara yang melucukannya. Rakan-rakan mengenalinya sebagai seorang yang cepat mesra walaupun pendiam. Perasaan simpatinya kepada musibah yang melanda rakan-rakan cukup mendalam. Satu perkara yang melucukan tentang Yusof adalah dia tidak pandai memandu kereta sendiri. Walaupun mampu berkereta, memandu bukanlah aktiviti yang disukainya. Dia lebih suka menyewa teksi ataupun menaiki bas untuk ke sana-sini. Pernah dia bersungut tidak mahu gambarnya diletakkan di kolum tulisannya di Harakah. “Bukan takut, tapi malu kalau ada pembaca Harakah yang perasan bila aku naik bas mini,” katanya diikuti ketawa besar. Beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan. Sejak itu, tulisan Yusof mahupun kelibatnya tidak lagi kelihatan di Harakah. Kesibukan mengurus perniagaan menghambat masanya yang berharga. “Sibuk sangat, tak ada masa nak tulis,” katanya ketika dipujuk untuk kembali menulis. Malangnya Yusof tidak berapa menyerlah dalam apa juga perniagaan yang diceburinya. Mungkin itu salah satu kelemahannya yang ketara. Tetapi manusia mana yang tidak punyai kelemahan. Dalam kegagalannya itu, Yusof sebenarnya berjaya mengasaskan beberapa bidang baru urusniaga yang menjadi ikutan pengusaha Islam kemudian daripadanya. Yusoflah peniaga Melayu Islam pertama di Malaysia yang membawa kurma Rotab terus daripada Iran. Sebelum daripada itu, umat Islam negara ini hanya mengenali kurma kering yang diimport daripada Mesir, Saudi dan lain-lain negara Timur Tengah. Kebanjiran kurma segar (rotab) daripada Iran, hasil usaha Yusof, memeriahkan lagi bulan Ramadhan al-Mubarak. Ketika menjadi pengurus Kointrade Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik Koperasi al-Hilal (M) Berhad, Yusof merintis peluang niaga dengan rakan-rakan niaga dari negara-negara Timur Tengah, Indonesia dan Turki. Tidak semua usaha niaga yang dirintisnya berjaya, tidak kurang juga yang memberikan imej negatif kepada peribadinya. Namun keberaniannya menjalinkan usahasama dengan rakan-rakan niaga dunia Islam boleh dijadikan contoh. Kejayaan juga kegagalannya, wajar dijadikan pengajaran berguna dan sempadan kepada mereka yang ingin menceburkan diri di bidang perniagaan antarabangsa. Berita pemergian Mohd Yusof Sulaiman pada petang Ahad, 16 Julai 2006 di pejabatnya di Taman Seri Gombak memeranjatkan rakan-rakannya. Jenazahnya di bawa pulang ke negeri asalnya Melaka dan dikebumikan di kampung halamannya di Bachang. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama golongan orang-orang yang saleh.
AL-FATIHAH UNTUK MOHD YUSOF SULAIMAN.

No comments: